KPM Tinjau Kesan Kebakaran SMK Presint 14

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 26 Mei 2026 (The Capital Post) – Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan (KPM), YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany bin Megat Ahmad Supian hari ini mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 14 (1), Putrajaya bagi meninjau keadaan semasa susulan insiden kebakaran yang berlaku di sekolah tersebut pada 14 Mei lalu.

Lawatan berkenaan bertujuan melihat sendiri lokasi kebakaran yang melibatkan bahagian belakang pentas dewan sekolah serta menilai tahap kerosakan yang berlaku.

Dalam sesi lawatan itu, YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany turut mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan di KPM dan pengurusan sekolah bagi meneliti tindakan susulan melibatkan kerja-kerja pembersihan, pembaikan serta pemulihan kemudahan yang terjejas akibat kejadian tersebut.

-Advertisement-

Selain itu, aspek penggantian perabot dan kelengkapan sekolah yang rosak turut diberi perhatian bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan dengan lancar tanpa menjejaskan kebajikan warga sekolah.

KPM komited memastikan segala tindakan pemulihan dilaksanakan secara menyeluruh demi menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif untuk pelajar serta warga pendidik. – The Capital Post