MAPIM Dekatkan Ilmu Universiti Kepada Rakyat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 2 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa hasil penyelidikan serta khazanah ilmu yang dihasilkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) diterjemahkan dalam bentuk lebih kreatif dan mudah diakses bagi memperkukuh literasi nasional serta menyokong pembangunan modal insan negara.

Usaha tersebut mendapat sokongan menerusi pendekatan yang diperkenalkan oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang kini memberi nafas baharu kepada penerbitan universiti dengan menggabungkan elemen popular dan santai bagi menarik minat pembaca daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut KPT, akses kepada ilmu berkualiti tinggi perlu diperluaskan kepada semua rakyat, dan inisiatif mempopularkan karya ilmiah merupakan langkah penting dalam usaha mendemokrasikan ilmu serta mengukuhkan budaya masyarakat berasaskan pengetahuan.

Pendekatan baharu ini turut mengubah persepsi terhadap universiti yang sebelum ini sering dilihat sebagai institusi eksklusif, kepada pusat ilmu yang lebih dekat dengan komuniti melalui penyediaan bahan rujukan yang sahih, relevan dan mudah difahami.

Pengerusi MAPIM, Prof. Madya Dr. Siti Rahmah Awang berkata penerbit universiti kini lebih responsif terhadap perubahan corak pembacaan masyarakat yang cenderung kepada kandungan visual, ringkas dan mudah difahami.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan format seperti ilmiah popular, grafik visual dan komik pintar menjadi antara strategi utama untuk menarik semula minat membaca dalam kalangan masyarakat sambil memastikan kandungan yang disampaikan kekal berasaskan fakta dan penyelidikan akademik.

-Advertisement-

Tambah beliau, penulis universiti turut dilatih untuk mengurangkan penggunaan istilah teknikal yang kompleks dan menggantikannya dengan bahasa yang lebih mesra pembaca bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas oleh masyarakat.

Pada masa sama, pengiktirafan dan sokongan daripada kepimpinan tertinggi KPT dilihat penting bagi memperkukuh kedudukan MAPIM di peringkat kebangsaan serta memperluaskan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam industri penerbitan tempatan dan antarabangsa.

Usaha berkenaan turut membuka ruang kolaborasi dalam penghasilan karya berkaitan bidang strategik seperti Pendidikan TVET, Sains Digital, Kecerdasan Buatan (AI) dan warisan budaya negara, sekali gus memperkayakan khazanah ilmu yang boleh diakses oleh rakyat.

Bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, MAPIM buat julung kalinya memperkenalkan Pavilion MAPIM yang menghimpunkan pelbagai karya terbaik universiti tempatan dalam satu ruang pameran khas. Pavilion yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sehingga 7 Jun ini turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, promosi istimewa dan peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan naskhah ilmiah popular secara eksklusif. – The Capital Post