SINGAPURA, 2 Jun 2026 (The Capital Post) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan kepentingan mempertahankan sentraliti ASEAN ketika ketegangan serantau dan persaingan kuasa besar terus meningkat dalam landskap geopolitik global yang semakin mencabar.
Berucap pada sesi pleno kelima Shangri-La Dialogue 2026 bertajuk “Managing Regional Tensions Amid Global Competition”, Mohamed Khaled berkata peningkatan ketegangan serantau berpunca daripada hakisan kepercayaan terhadap sistem antarabangsa berasaskan peraturan, pelaksanaan undang-undang antarabangsa secara terpilih serta amalan standard berganda yang menjejaskan keyakinan terhadap institusi global.
Beliau turut membangkitkan keputusan Norway membatalkan eksport Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia, yang menurutnya menimbulkan persoalan mengenai integriti kontrak, kebolehpercayaan rakan strategik serta kredibiliti sistem antarabangsa.
Menurut beliau, persaingan antara kuasa besar kini semakin mengekang peranan institusi pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mempertahankan prinsip, peraturan dan akauntabiliti antarabangsa.
Katanya, perkembangan tersebut memberi kesan langsung kepada Asia Tenggara apabila persaingan geopolitik, ekonomi dan teknologi yang semakin sengit mewujudkan tekanan terhadap pendirian serta kedudukan strategik negara-negara di rantau ini.
-Advertisement-
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sentraliti ASEAN mesti terus dipertahankan kerana blok serantau itu dibina atas asas dialog, konsensus, saling menghormati dan tanggungjawab bersama, bukannya paksaan, dominasi atau politik berasaskan transaksi.
Mohamed Khaled turut menekankan bahawa masyarakat antarabangsa perlu memberi tumpuan kepada punca sebenar yang mencetuskan ketegangan dan bukan sekadar menguruskan kesannya.
Beliau berkata selagi kepercayaan terhadap sistem antarabangsa terus terhakis, ketegangan serantau akan terus meningkat sekali gus menjejaskan keamanan dan kestabilan global.
Justeru, beliau menegaskan bahawa komitmen antarabangsa perlu dihormati, perjanjian mesti ditepati dan undang-undang antarabangsa hendaklah dilaksanakan secara adil serta saksama terhadap semua negara. – The Capital Post.