JOHOR BAHRU 2 Jun 2026 (The Capital Post) – Sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru musnah dalam kejadian kebakaran malam 1 Jun, yang turut mengakibatkan dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 malam berhubung kejadian di No. 30, Jalan Ehsan Jaya 3/10, sebelum pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya digerakkan ke lokasi bersama bantuan BBP Tebrau, BBP Kempas serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin dan PBS Ulu Tiram.
Operasi berkenaan diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Rafie Ahmad Sareng dengan dibantu Komander Operasi Kanan, TPgB II Firdaus bin Ahmad, yang tiba di lokasi kira-kira enam minit selepas panggilan kecemasan diterima.
Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran melibatkan rumah teres dua tingkat jenis struktur kekal dengan keluasan anggaran 24 x 70 kaki, yang telah memusnahkan kira-kira 60 peratus struktur bangunan tersebut.
Pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula serta satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air daripada pili bomba dan pam jentera bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
-Advertisement-
Dalam operasi sama, pasukan penyelamat menemui dua mangsa di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diberikan bantuan awal resusitasi kardiopulmonari (CPR) oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan jentera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.05 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.10 malam dengan kekuatan seramai 30 anggota serta beberapa aset operasi termasuk jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT), EMRS dan kenderaan utiliti.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – The Capital Post