PDRM–KPDN Rekod 243 Kes Penguatkuasaan, Ketirisan Subsidi Terus Dibanteras

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 2 Jun 2026 (The Capital Post) – Kerjasama bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merekodkan sebanyak 243 kes penguatkuasaan di seluruh negara dalam usaha membanteras ketirisan subsidi dan aktiviti penyelewengan barangan kawalan.

Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh penguatkuasaan berasaskan risikan bagi memastikan ketirisan subsidi dapat dibanteras, bekalan negara kekal terjamin serta kesejahteraan rakyat terus dilindungi.

Berdasarkan laporan kumulatif bagi tempoh 12 April hingga 31 Mei 2026, sebanyak 319 kes penguatkuasaan telah direkodkan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan jumlah 911 tangkapan di seluruh negara.

Antara pencapaian utama operasi berkenaan termasuk rampasan bernilai RM47.99 juta, selain rekod rampasan mingguan tertinggi sebanyak RM1.05 juta yang dicatatkan pada 25 hingga 31 Mei 2026.

-Advertisement-

PDRM–KPDN turut mencatatkan 243 kes penguatkuasaan melibatkan kesalahan seperti ketirisan diesel dan petrol, penyalahgunaan gas petroleum cecair (LPG) serta penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dikenal pasti hasil tindakan operasi berasaskan risikan.

Pecahan keseluruhan tangkapan turut melibatkan beberapa agensi lain termasuk PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di seluruh negara.

KDN dalam masa sama menegaskan bahawa pendekatan Smart Enforcement akan terus diperkukuh melalui kerjasama rentas agensi bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan yang menjejaskan kepentingan rakyat serta kestabilan ekonomi negara. – The Capital Post