Program Ibadah Korban MTMZA, 21 Ekor Lembu Dikorbankan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 3 Jun 2026 (The Capital Post) – Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA) dan Hospital Putrajaya (HPj) telah berjaya menganjurkan Program Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha pada 28 Mei 2026, bersamaan hari raya kedua.

Program yang berlangsung di Padang Parking bersebelahan MTMZA itu berjaya menghimpunkan jemaah serta komuniti setempat dalam suasana penuh ukhuwah dan semangat kebersamaan. Penganjuran program tersebut turut mencerminkan amalan gotong-royong yang menjadi tradisi dalam masyarakat Islam.

Sebanyak 21 ekor lembu telah diperuntukkan bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini. Daripada jumlah tersebut, 20 ekor lembu telah disembelih dan dilapah secara bergotong-royong oleh para petugas serta jemaah di lokasi program, manakala seekor lagi diuruskan di ladang khas bagi penyediaan jamuan kepada para sukarelawan dan tetamu yang hadir.

Kemuncak program menyaksikan Majlis Simbolik Penyampaian Daging Korban yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan diiringi oleh YBrs. Dr. Muhammad Yusry bin Mazlan, Imam Besar MTMZA.

-Advertisement-

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Muhammad Nurhisyam bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan PETRA serta YBrs. Dr. Suraya binti Amir Husin, Pengarah HPj yang bersama-sama menyaksikan pengagihan daging korban kepada penerima yang layak.

Penganjuran ibadah korban ini bukan sahaja menzahirkan ketaatan kepada syariat Islam dan menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW, malah memperkukuh semangat kerjasama serta nilai kebersamaan yang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Program berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara agensi, sukarelawan dan masyarakat setempat dalam suasana penuh keberkatan sempena Aidiladha. – The Capital Post