Karnival Tarian Sewang 2026 Angkat Warisan Orang Asli

Estimate Reading Time: < 1 minute

CAMERON HIGHLANDS, 26 Oktober 2026 – Karnival Tarian Sewang 2026 yang berlangsung di Kampung Orang Asli Menson, Cameron Highlands, Pahang pada 24 Oktober lalu menjadi platform untuk mengetengahkan keunikan seni tradisional masyarakat Orang Asli serta memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya negara.

Karnival tersebut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, serta Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor.

Penganjuran karnival ini memberi tumpuan kepada keistimewaan Tarian Sewang sebagai warisan budaya masyarakat Orang Asli yang mempunyai nilai tradisi tersendiri. Usaha mengetengahkan seni ini turut membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara dan menghargai warisan budaya tempatan.

Selain itu, karnival berkenaan menjadi ruang untuk meraikan kepelbagaian budaya yang membentuk identiti dan khazanah negara, di samping menggalakkan penghormatan terhadap tradisi masyarakat Orang Asli.

-Advertisement-

Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, YBrs. Wan Ashbi @ W Maheran bin Leman, serta Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara MOTAC, YBrs. Encik Mohamd Raizuli bin Mat Jusoh.

Penganjuran Karnival Tarian Sewang 2026 mencerminkan kepentingan usaha berterusan dalam memelihara seni tradisional serta memastikan warisan budaya masyarakat Orang Asli terus dihargai oleh generasi kini dan akan datang. – The Capital Post