KEUB 2026 Pacu Ekonomi Bumiputera

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA TERENGGANU 3 Jun 2026 (The Capital Post) – Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 yang melabuhkan tirainya di Terengganu dilihat sebagai platform strategik dalam memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui pendekatan yang lebih progresif dan berorientasikan masa depan.

Majlis Perasmian Penutupan konvensyen tersebut telah disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa, 2 Jun 2026, dengan kehadiran pelbagai pemimpin kerajaan, akademik dan pemain industri.

KEUB 2026 mengetengahkan anjakan paradigma dalam pembangunan ekonomi Bumiputera dengan memberi fokus kepada pemilikan ekuiti, penguasaan teknologi dan penyertaan dalam rantaian nilai global, berbanding pendekatan tradisional yang lebih tertumpu kepada bantuan dan geran.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyifatkan penganjuran konvensyen itu sebagai manifestasi kejayaan kerjasama strategik antara UiTM, KETENGAH dan Kementerian Ekonomi dalam merangka formula pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih holistik dan mampan.

Dalam ucapan beliau, YAB Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa agenda ekonomi Bumiputera perlu bergerak ke tahap yang lebih tinggi dengan memberi penekanan kepada aspek pemilikan, penguasaan teknologi serta keupayaan memimpin sektor ekonomi strategik negara.

-Advertisement-

Beliau turut menekankan bahawa dalam era ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu, Bumiputera perlu tampil sebagai pencipta nilai, pemilik platform, peneraju inovasi dan pemain utama dalam ekonomi masa depan.

Menurut beliau, usaha memperkukuh ekonomi Bumiputera memerlukan kerjasama yang lebih tersusun antara kerajaan, institusi pendidikan, agensi pembangunan, syarikat berkaitan kerajaan, pemain industri dan usahawan bagi membentuk ekosistem yang saling melengkapi.

KEUB 2026 turut menghasilkan beberapa resolusi yang disifatkan mampu menjadi panduan kepada pelaksanaan dasar dan program yang lebih berkesan dalam meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam sektor-sektor strategik negara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YB Datuk Razali Idris, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Terengganu mewakili YAB Menteri Besar Terengganu, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha KPT serta barisan pemimpin dan wakil agensi yang terlibat dalam menjayakan konvensyen berkenaan. – The Capital Post