PUTRAJAYA 3 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kewangan menafikan kesahihan poster yang tular di media sosial berhubung dakwaan mengenai “Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)”.
Menurut kementerian itu, poster berkenaan adalah tidak benar dan bukan dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa yang sah.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
-Advertisement-
Kementerian Kewangan turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa merujuk kepada saluran komunikasi rasmi kerajaan dan kementerian berkenaan bagi mendapatkan maklumat yang tepat, sahih dan terkini mengenai sebarang pengumuman berkaitan dasar atau inisiatif kerajaan.
Tindakan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi adalah penting bagi membendung penyebaran berita palsu yang boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu ketenteraman awam. – The Capital Post