Malaysia Perkukuh Kepimpinan Serantau Dalam Teknologi Grafen dan Inovasi Bahan Termaju

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi bahan termaju di rantau ASEAN apabila menjadi satu-satunya negara yang mempunyai program grafen di peringkat nasional, sekali gus memperkukuh pembangunan aplikasi industri serta pengkomersialan teknologi berasaskan bahan berkenaan.

Perkara itu diketengahkan sempena Majlis Perasmian “From Methane to Graphene: Revolutionising Industry with Graphene” yang disempurnakan oleh YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 3 Jun lalu.

Dalam ucapannya, YB Datuk Chang Lih Kang menegaskan bahawa grafen kini muncul sebagai antara bahan paling berpotensi di peringkat global dan Malaysia telah berjaya membangunkan ekosistem tempatan yang membolehkan teknologi tersebut diaplikasikan secara lebih meluas dalam pelbagai sektor ekonomi.

Menurut beliau, menerusi peranan NanoMalaysia Berhad (NMB), kerajaan telah melaksanakan pelbagai pelan tindakan strategik bagi mempercepatkan penggunaan teknologi grafen dalam sektor tenaga, pembuatan, pertanian dan pembinaan. Pendekatan ini turut membuka ruang kepada syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) untuk memanfaatkan inovasi berasaskan grafen dalam operasi dan produk mereka.

Beliau turut menegaskan komitmen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membangunkan rantaian ekonomi bernilai tinggi yang berteraskan inovasi, sekali gus membantu industri tempatan meningkatkan daya saing di pasaran global.

-Advertisement-

Dalam usaha menyokong agenda ekonomi kitaran dan tenaga bersih negara, MOSTI juga terus menggalakkan penyelidikan yang memberi nilai tambah kepada sumber bio tempatan. Antara inisiatif yang sedang diperkasakan ialah penukaran biogas berasaskan sawit atau biometana kepada hidrogen dan grafen melalui teknologi pirolisis hidrogen.

Pendekatan tersebut bukan sahaja berupaya menghasilkan bahan bernilai tinggi daripada sisa bio, malah berfungsi sebagai mekanisme penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang menyokong aspirasi negara ke arah pembangunan rendah karbon dan mampan.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran kerjasama strategik antara Gas Malaysia Berhad dan syarikat dari United Kingdom, Levidian, menerusi pemasangan teknologi ‘LOOP’ yang pertama di rantau Asia Pasifik. Teknologi itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran grafen negara serta memperluaskan perkongsian kepakaran dalam pembangunan ekosistem bahan termaju di Malaysia. – The Capital Post