Tanjong Malim, 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Di sebalik keindahan alunan muzik serta kilauan lampu pentas, sebuah platform unik telah berjaya diwujudkan bagi menggabungkan elemen emosi, kesedaran, dan minda golongan muda. Exco Jaringan Komuniti dan Antarabangsa daripada Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar telah mengelolakan sebuah program dinamik bertajuk Pulse & Pause: Let The Rhythm Flows yang bertempat di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pelaksanaan aktiviti ini dirangka khusus demi membanginkan kepekaan masyarakat awam terhadap peri pentingnya penjagaan kesihatan mental serta fizikal, di samping menjadi ruang alternatif untuk meluahkan perasaan secara sihat menerusi karya seni dan persembahan kreatif.

Inisiatif berskala besar ini telah dijayakan hasil kolaborasi strategik bersama agensi perubatan luar seperti Hospital Slim River dan Klinik Kesihatan Slim River. Di samping itu, pengisian program turut diperkukuh dengan pembabitan Pusat Kaunseling UPSI serta barisan persatuan pelajar daripada Fakulti Pembangunan Manusia UPSI yang merangkumi Persatuan Bimbingan Dan Kaunseling, Psychology Association, Psychological First Aid, Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas, Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, serta Persatuan Sahabat Komuniti yang komited mengendalikan pelbagai aktiviti kesejahteraan sepanjang festival ini berjalan.

Kelancaran sepanjang atur cara program ini turut dibantu oleh sokongan padu serta sumbangan daripada barisan penaja korporat yang bermurah hati. Bantuan tersebut secara tidak langsung memantapkan lagi matlamat penganjur untuk menyebarluas mesej kesedaran berkenaan penjagaan emosi dan kecergasan tubuh badan, bukan sahaja dalam kalangan penuntut universiti malah meliputi komuniti setempat.
-Advertisement-

Festival ini menerima maklum balas yang amat luar biasa dengan kehadiran yang memenuhi ruang legar daripada warga universiti dan masyarakat setempat di daerah ini. Pengisian pada waktu siang dimeriahkan dengan pelbagai program berorientasikan kesihatan, seperti kempen sumbangan darah serta kaunter saringan kesihatan percuma tajaan Hospital Slim River dan Klinik Kesihatan Slim River, selain penganjuran forum interaktif yang mengupas topik pengurusan kesejahteraan diri dalam meniti rutin harian.
Antara acara kemuncak yang paling mencuri tumpuan para pengunjung yang hadir termasuklah segmen interaktif “Gen Z Unpack” serta slot perbincangan meja bulat bertajuk “Bila Emosi: Healing atau Hilang?” yang dikendalikan oleh barisan panel jemputan pakar. – The Capital Post