DAP Tunda Kongres Kebangsaan, Fokus PRN Johor dan Negeri Sembilan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2026 (The Capital Post) – Parti Tindakan Demokratik (DAP) menangguhkan Persidangan Kebangsaan DAP 2026 kepada 16 Ogos ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan yang membuka laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun.

Keputusan itu merupakan antara beberapa ketetapan yang diputuskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang berlangsung pada malam 4 Jun.

Menurut parti itu, Persidangan Kebangsaan DAP yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 12 Julai ditangguhkan bagi membolehkan seluruh jentera parti memberi tumpuan kepada persiapan dan kempen menghadapi PRN di kedua-dua negeri terbabit.

Dalam masa sama, DAP menegaskan komitmennya untuk mempertahankan semua kerusi penyandang di Johor dan Negeri Sembilan serta berhasrat bertanding di beberapa kerusi tambahan di Johor, tertakluk kepada keputusan muktamad rundingan kerusi bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan yang dijangka dimuktamadkan menjelang hujung minggu ini.

Bagi menguruskan proses pemilihan calon PRN, DAP menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Calon yang dianggotai oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming; Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching; serta Ketua Parlimen DAP, Chong Chieng Jen.

-Advertisement-

Mesyuarat CEC turut menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan dijadual dibentangkan dalam Persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada 22 Jun depan.

DAP turut memberi komitmen untuk memastikan kesemua 40 Ahli Parlimennya menyokong RUU tersebut dalam undi belah bahagi serta menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik untuk menyokong pindaan Perlembagaan yang disifatkan sebagai satu langkah reformasi institusi yang bersejarah.

Parti itu menegaskan bahawa DAP akan terus mendukung agenda reformasi institusi dalam kerajaan sambil memperhebatkan usaha kempen menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan di kedua-dua negeri berkenaan. – The Capital Post