KUALA LUMPUR 5 Jun 2026 (The Capital Post) – Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Switzerland ke Malaysia, TYT Chantal Moser dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama strategik dalam sektor pendidikan tinggi.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada perkembangan inisiatif Malaysia-Swiss Nexus, sebuah platform kerjasama yang diwujudkan bagi mempererat hubungan antara kedua-dua negara dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai peluang memperluaskan kolaborasi dalam pelbagai bidang strategik termasuk mobiliti akademik, Kecerdasan Buatan (AI), transformasi digital, pembangunan mampan serta pengukuhan rangkaian penyelidikan yang mampu memberi manfaat kepada institusi pendidikan tinggi di Malaysia dan Switzerland.
-Advertisement-
Perbincangan berkenaan dilihat berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, penyelidik dan tenaga akademik untuk menjalinkan kerjasama rentas negara sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Kunjungan hormat tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkasa hubungan bilateral melalui pendidikan dan inovasi, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan agenda pengantarabangsaan serta kerjasama strategik global bagi meningkatkan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara – The Capital Post.