UPSI Anjur Kejohanan Kabaddi Antarabangsa 2026

Estimate Reading Time: 4 minutes

TANJONG MALIM 5 Jun 2026 (The Capital Post) – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melakar sejarah baharu dalam arena sukan universiti apabila menjadi tuan rumah kepada penganjuran julung kali 1st UPSI Inter-University Kabaddi Championship 2026. Kejohanan bertaraf antarabangsa yang berlangsung meriah itu berjaya mengumpulkan penglibatan aktif barisan atlet dan kelab sukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan mahupun luar negara dalam suasana penuh harmoni serta semangat kesukanan yang tinggi.

Gambar Pasukan lelaki Thailand dinobat juara bagi kejohanan 1st UPSI Inter University Kabaddi Championship 2026

Kemuncak kejohanan tersebut telah diraikan menerusi satu majlis penutupan rasmi yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Kabaddi Perak, Tuan Prabakaran Maksvaran. Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran barisan pegawai tinggi sukan dari pelbagai universiti, para jurulatih, barisan atlet bertanding, serta kehadiran orang ramai yang membanjiri venue perlawanan bagi memberikan sokongan padu.

Gambar Pasukan wanita Thailand muncul juara sulung kejohanan

Acara berprestij ini telah dianjurkan oleh Exco Inisiatif Sukan, Rekreasi & Kecergasan di bawah Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, UPSI. Penganjuran ini turut mendapat kerjasama erat daripada entiti sukan utama termasuklah Kabaddi Association of Malaysia, Persatuan Kabaddi Perak, Kelab Kabaddi UPSI, Pusat Sukan UPSI, serta South East Asia Kabaddi Federation. Malah, kelancaran program ini turut disokong penuh oleh Kerajaan Negeri Perak bersama beberapa penaja utama seperti Starbucks, Hotlink, dan Extra Joss.

Gambar Pasukan KVT Terengganu wanita rangkul naib johan kejohanan

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Pengarah Program, Sherraan A/L Kalahiahrasan menyatakan bahawa kejohanan ini merupakan sebuah medium terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi tinggi. Pada masa yang sama, beliau menegaskan penganjuran ini mampu mempertautkan hubungan diplomatik dan jalinan persahabatan yang lebih erat antara institusi pengajian tinggi merentasi sempadan negara melalui platform sukan kabaddi.

Gambar Pasukan wanita UPSI dan Thailand bersalaman selesai menamatkan aksi kumpulan

Sementara itu, Tuan Prabakaran dalam ucapan perasmiannya menzahirkan keyakinan penuh terhadap kualiti mutu permainan yang dipamerkan oleh setiap pasukan yang bertanding. Beliau melihat inisiatif ini sebagai titik mula yang sangat baik untuk melahirkan lebih ramai pelapis atlet kabaddi bagi mewakili Negeri Perak serta skuad kebangsaan pada masa hadapan, di samping berharap agar sukan ini terus mendapat pengiktirafan meluas setanding sukan arus perdana yang lain.

-Advertisement-

Gambar Aksi perlawanan akhir lelaki antara pasukan UTeM dan Thailand

Tumpuan penonton dewan perlawanan pastinya terarah kepada aksi final kategori lelaki yang menyaksikan pertembungan sengit antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menentang wakil luar negara, Thailand National Sports University. Sorakan gemuruh penonton yang memenuhi ruang dewan terus membakar semangat kedua-dua pasukan yang memamerkan corak permainan berkualiti tinggi dan mendebarkan sehingga minit terakhir.

Bagi saingan kategori wanita, kejuaraan mutlak berjaya dirangkul oleh pasukan Thailand National Sports University selepas mempamerkan aksi dominan dan konsisten sepanjang saingan. Kedudukan naib juara pula disandang oleh KVT Wakaf Tembusu Terengganu, manakala pasukan tuan rumah, UPSI, berkongsi kedudukan tempat ketiga bersama dengan pasukan UTeM.

Bagi kategori lelaki pula, penguasaan Thailand National Sports University berterusan apabila mereka dinobatkan sebagai johan keseluruhan, manakala pasukan UTeM terpaksa akur bergelar naib johan. Seterusnya, kedudukan tempat ketiga bersama pula menjadi milik pasukan KVT Wakaf Tembusu Terengganu dan Multimedia Universiti (MMU).

Kecemerlangan individu turut diberi pengiktirafan khas pada kejohanan kali ini. Anugerah Best Raider telah dirangkul oleh Diana Deesalarm dan Pootawun Poocahong dari Thailand National Sports University. Seterusnya, gelaran Best Defender pula diserahkan kepada Thevatharshini dari UPSI dan Laksshmaman Thiagarajan. Sementara itu, Thanyalak Benrit serta Wisat Wuttari yang juga dari Thailand National Sports University cemerlang membawa pulang gelaran berprestij Most Valuable Player (MVP) masing-masing bagi kategori wanita dan lelaki.

Secara keseluruhan, kejohanan sukan ini menawarkan hadiah kemenangan berbentuk wang tunai terkumpul yang mencecah nilai RM9,000.00. Pasukan yang bergelar johan membawa pulang tunai RM2,000.00, manakala naib johan menerima RM1,500.00, dan pemenang tempat ketiga bersama masing-masing menerima RM500.00 berserta pingat, sijil, serta trofi. Pemenang bagi kategori anugerah khas individu pula dihadiahkan dengan pingat, replika cek, serta hadiah eksklusif tajaan Starbucks Malaysia.

Kejayaan penganjuran 1st UPSI Inter-University Kabaddi Championship 2026 ini terbukti bukan sekadar memartabatkan sukan kabaddi ke tahap yang lebih profesional, malah ia mengukuhkan lagi reputasi UPSI sebagai sebuah hab penganjuran sukan antarabangsa yang berwibawa dalam menyatukan bakat, budaya, dan nilai kesukanan serantau – The Capital Post