KUALA LUMPUR 7 Jun 2026 (The Capital Post) – Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh usaha mempromosikan pendidikan tinggi dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pelaksanaan Projek Jelajah Siswa Universiti Malaya Sesi 2025/2026 yang melibatkan pelajar sekolah menengah dari pelbagai negeri. Projek tersebut merangkumi dua komponen utama iaitu Program Mega Jelajah Siswa Universiti Malaya dan Program Jelajah Siswa Peringkat Kebangsaan.
Kemuncak program berlangsung pada 9 Mei 2026 di Fakulti Sains, Universiti Malaya dengan penyertaan lebih 400 pelajar daripada 21 sekolah menengah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Program tersebut turut digerakkan oleh 50 ahli sekretariat serta 48 fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa universiti berkenaan.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai slot akademik yang dijalankan dengan kerjasama PTTI, melibatkan subjek Matematik, Matematik Tambahan, Sains dan Kimia. Pendedahan yang diberikan bertujuan membantu pelajar meningkatkan penguasaan dalam subjek STEM serta mempersiapkan mereka menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan lebih berkesan.
Pada sebelah petang, para peserta berpeluang menyertai sesi Jelajah Universiti Malaya yang membawa mereka melawat beberapa lokasi utama kampus termasuk Perpustakaan Utama Universiti Malaya, Tasik Varsiti, Kompleks Perdana Siswa dan beberapa fakulti terpilih. Aktiviti explorace dan pameran akademik turut diadakan bagi memberi gambaran sebenar mengenai kehidupan serta persekitaran pembelajaran di universiti.
Selain program di kampus, Universiti Malaya turut memperluaskan inisiatif tersebut menerusi Program Jelajah Siswa Peringkat Kebangsaan yang dilaksanakan di beberapa sekolah menengah terpilih. Program berkenaan memberi fokus kepada perkongsian akademik, motivasi pendidikan tinggi dan aktiviti STEM interaktif yang menggalakkan pemikiran kritis serta penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.
-Advertisement-
Siri jelajah itu telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Sains Selangor pada Februari lalu dan diteruskan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pada Mei 2026, dengan penyertaan lebih 200 pelajar secara keseluruhan. Program seterusnya dijadual berlangsung di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah pada Jun ini.
Pelbagai aktiviti seperti cabaran inovasi, eksperimen berkumpulan, kuiz interaktif dan sesi perkongsian bersama mahasiswa berjaya meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM serta memberi pendedahan kepada aplikasi praktikal ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.
Secara keseluruhannya, Projek Jelajah Siswa Universiti Malaya berjaya memberi impak positif dengan meningkatkan kesedaran mengenai peluang pendidikan tinggi, memupuk minat terhadap STEM serta mengukuhkan hubungan strategik antara universiti dan sekolah menengah dalam usaha melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. -The Capital Post