Krisis Raja Negeri Sembilan: Ibrahim Ali Seru Muafakat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2026 (The Capital Post) – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Dr Ibrahim Ali, melahirkan rasa sedih, kesal dan malu terhadap krisis yang sedang melanda Institusi Raja Negeri Sembilan, sambil menggesa semua pihak terlibat agar menghentikan pertelagahan demi memelihara maruah adat, institusi diraja dan negeri itu.

Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, beliau berkata apa yang berlaku bukan sekadar isu berkaitan majlis atau prosedur adat semata-mata, sebaliknya melibatkan maruah institusi yang menjadi tonggak kepada sistem adat dan pemerintahan Melayu sejak sekian lama.

Menurut Ibrahim, beliau tidak berniat mendahului sebarang keputusan yang melibatkan undang-undang, perlembagaan atau saluran adat yang sah, namun menegaskan bahawa aspek adab dan tertib perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak yang terlibat.

Beliau berkata masyarakat selama ini diajar untuk menghormati raja, adat, orang tua dan susunan masyarakat, namun nilai-nilai tersebut boleh terjejas sekiranya golongan yang berada di kedudukan tinggi gagal menunjukkan teladan yang baik ketika berdepan krisis.

“Adat Melayu bukan alat untuk menang atau menunjukkan pengaruh. Adat perlu dipimpin dengan hikmah, musyawarah dan rasa malu. Apabila adat dipisahkan daripada adab, yang tinggal hanyalah pertikaian yang dibungkus atas nama warisan,” katanya.

Ibrahim turut mengingatkan ahli politik dan individu yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan isu berkenaan supaya tidak campur tangan sehingga memburukkan lagi keadaan. Beliau menegaskan bahawa institusi raja dan adat Melayu tidak seharusnya dijadikan medan persaingan politik atau platform untuk mempamerkan pengaruh.

Menurut beliau, semua pihak perlu menjaga persepsi rakyat, khususnya dalam era media sosial yang menyaksikan setiap perkembangan mendapat perhatian meluas dan sukar dikawal.

-Advertisement-

Beliau turut menyeru pihak-pihak yang bertelagah supaya merendahkan ego dan mengutamakan kepentingan rakyat serta maruah Negeri Sembilan, sambil menegaskan bahawa institusi raja dan warisan adat tidak wajar dijadikan bahan pertarungan kuasa.

“Rakyat sedang memerhati. Orang Melayu melihat, orang bukan Melayu melihat dan generasi muda juga sedang menilai. Jika golongan pemimpin gagal menunjukkan adab dan tertib, jangan terkejut jika masyarakat mula hilang rasa hormat terhadap institusi yang selama ini dijunjung tinggi,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Ibrahim mencadangkan supaya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dikaji semula bagi memperjelaskan kedudukan Yang Amat Mulia Yang di-Pertuan Besar selepas ditabalkan, termasuk menetapkan syarat-syarat tertentu sekiranya berlaku pelucutan takhta.

Beliau juga mencadangkan pewujudan Akta Kedaulatan Raja dan Akta Kesetiaan Negara bagi memperkukuhkan kedudukan institusi diraja serta memelihara kesetiaan rakyat terhadap negara dan sistem pemerintahan berperlembagaan.

Mengakhiri kenyataannya, Ibrahim menggesa semua pihak kembali kepada saluran yang sah, musyawarah, adat dan perlembagaan demi memastikan maruah Institusi Raja Negeri Sembilan terus terpelihara serta dihormati oleh generasi masa kini dan akan datang. – The Capital Post.