Jambatan Baharu Sungai Sala Tingkat Keselamatan dan Kelancaran Trafik di Kota Setar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA SETAR, 8 Jun 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Dato’ Seri Azman Ibrahim, hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Jambatan FT001/837/70 Sungai Sala di Kota Setar, Kedah, yang telah dinaik taraf bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Menurut Kementerian Kerja Raya Malaysia menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, projek naiktaraf Jambatan Sungai Sala bernilai RM18.83 juta itu dilaksanakan bagi menggantikan struktur lama dengan jambatan baharu yang lebih selamat, kukuh dan berdaya tahan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Haji Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR Malaysia, Ir. Hajah Atikah Zakaria @ Ya; Pengarah JKR Negeri Kedah, Ir. Mohd Fisal Ismail; Jurutera Daerah Kota Setar, Ir. Isnil Badril Ismail, serta barisan pengurusan KKR, JKR dan agensi berkaitan.

Projek tersebut melibatkan pembinaan jambatan baharu sepanjang 193 meter yang bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, malah membantu melancarkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan dan menyediakan laluan yang lebih selesa serta selamat untuk pejalan kaki.

Selain memudahkan perjalanan harian penduduk setempat, projek itu turut dijangka merangsang pertumbuhan sosioekonomi kawasan sekitar, memperkukuh jaringan perhubungan di Kota Setar dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat menerusi penyediaan infrastruktur yang lebih moden dan mampan.

KKR memaklumkan bahawa kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus komited memperkukuh penyampaian projek infrastruktur berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan inisiatif MYJalan. – The Capital Post.

-Advertisement-