SUNGAI PETANI, 8 Jun 2026 (The Capital Post) – Enam sekeluarga termasuk seorang bayi berusia enam bulan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tanah dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 di Kampung Baru Pinang Tunggal, di sini, pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori yang membawa muatan 10 tan tanah dan sebuah Proton X50 yang dinaiki tujuh individu termasuk seorang bayi.
“Enam mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang dikenal pasti maut ialah Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 27; Nora Mhd Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; dan Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21.
-Advertisement-
Turut terkorban ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun serta seorang bayi berusia enam bulan, yang identitinya masih belum disahkan.
Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, dilaporkan mengalami kecederaan serius akibat nahas berkenaan dan sedang menerima rawatan di hospital.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa. – The Capital Post.