Johor Catat Antara Pendaftaran Tahun 1 Tertinggi Bagi Kanak-Kanak Enam Tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR, 8 Jun 2026 (The Capital Post) – Johor mencatatkan antara jumlah pendaftaran tertinggi bagi kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 susulan langkah baharu Kerajaan memperkenalkan kemasukan awal ke peringkat persekolahan rendah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu antara perkembangan positif yang dikongsikan ketika sesi pertemuan bersama pesara guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) di Sungai Balang, Johor.

Menurut beliau menerusi perkongsian di Facebook, masyarakat di negeri itu turut menyambut baik inisiatif kerajaan tersebut selain berbangga dengan pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memberangsangkan.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif pendidikan kini sedang giat dilaksanakan termasuk penyediaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 serta pembangunan kurikulum baharu prasekolah.

Pada masa sama, Kurikulum Persekolahan 2027 kini berada pada peringkat akhir perancangan dan dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.

Fadhlina berkata, sesi pertemuan tersebut turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menyuarakan isu dan cabaran berkaitan pendidikan, sekali gus membolehkan pihak berkaitan mencari penyelesaian yang lebih berkesan.

Beliau menegaskan bahawa pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, PIBG dan PIBKS perlu terus memperkukuh kerjasama strategik bagi mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih holistik dan berkualiti demi manfaat murid serta komuniti setempat. – The Capital Post.

-Advertisement-