Malaysia Sertai Mesyuarat OPEC+ Ke-41

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 8 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh penglibatannya dalam isu tenaga global apabila menyertai Mesyuarat Peringkat Menteri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan OPEC (OPEC+) kali ke-41 yang berlangsung secara dalam talian bersama 21 negara lain.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut yang menjadi platform penting bagi membincangkan perkembangan pengeluaran minyak mentah dalam kalangan negara anggota OPEC dan OPEC+.

Menurut Kementerian Ekonomi menerusi perkongsian di Facebook rasminya, penyertaan Malaysia dalam OPEC+ sejak Disember 2016 mencerminkan komitmen negara untuk terus mengikuti perkembangan pasaran tenaga global, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik semasa yang dipengaruhi konflik di Eropah dan Asia Barat.

Kementerian itu berkata, perkembangan tersebut memberi kesan langsung kepada kestabilan pasaran minyak dunia, pergerakan harga minyak mentah serta kedudukan fiskal kerajaan, selain turut mempengaruhi kos sara hidup rakyat.

-Advertisement-

Malaysia berpandangan bahawa peranan OPEC kekal penting dalam membantu mengimbangi bekalan dan permintaan pasaran minyak dunia, sekali gus memastikan harga minyak berada pada paras yang lebih stabil dan munasabah.

Dalam mesyuarat itu, Malaysia turut menegaskan bahawa tindakan kolektif negara-negara OPEC+ adalah penting bagi menyokong kestabilan pasaran tenaga global, di samping memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira perkembangan ekonomi dunia semasa serta kepentingan negara-negara pengeluar.

Delegasi Malaysia turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, pegawai kanan kementerian, wakil Kedutaan Besar Malaysia di Austria serta wakil PETRONAS. – The Capital Post.