PUTRAJAYA, 8 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keberkesanan penyampaian maklumat oleh Kementerian Komunikasi berhubung pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang disifatkan berjaya mengurangkan kekeliruan rakyat melalui penerangan yang jelas dan berkesan.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Kementerian Komunikasi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menghadiri Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama-sama Warga Kementerian sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi yang berlangsung di Menara Komunikasi hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar menyifatkan pendekatan komunikasi yang dilaksanakan kementerian sebagai berkesan dalam membantu rakyat memahami pelaksanaan BUDI95, sekali gus memastikan maklumat berkaitan inisiatif tersebut dapat disampaikan dengan lebih tepat dan menyeluruh.
Pada majlis yang sama, Fahmi turut mencadangkan pelaksanaan inisiatif “1 NADI, 1 Prompt Engineer”, yang bertujuan melatih seorang individu di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara dalam bidang kejuruteraan arahan (prompt engineering) bagi memperkasa kemahiran kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata cadangan itu selari dengan usaha kerajaan untuk memperluaskan literasi digital serta meningkatkan keupayaan rakyat memanfaatkan teknologi AI dalam pelbagai sektor.
Turut hadir pada perhimpunan tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah serta barisan pengurusan tertinggi kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
Perhimpunan bulanan itu menjadi platform bagi memperkukuh kerjasama antara kepimpinan kerajaan dan warga kementerian dalam memastikan agenda komunikasi negara terus diperkasa selaras dengan aspirasi pembangunan negara. – The Capital Post.
-Advertisement-