PUTRAJAYA, 8 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan keperluan untuk badan-badan penguatkuasaan mempertingkatkan usaha pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk penyalahgunaan pas pelancongan bagi menjalankan aktiviti perniagaan.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Kementerian Kewangan (MoF), perkara itu disampaikan ketika Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama warga Kementerian Komunikasi yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Menara Komunikasi, Putrajaya sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian bagi Jun 2026.
Anwar turut menyeru kerjasama semua pihak dalam memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan berjalan lancar, selain menekankan bahawa sesi libat urus perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang mengikuti sesi tersebut secara dalam talian bersama barisan pengurusan tertinggi MoF, memaklumkan bahawa kementerian telah mempergiatkan sesi libat urus dengan pelbagai agensi pembiayaan dan institusi kewangan bagi meneliti bentuk sokongan yang boleh diberikan kepada usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti yang memerlukan bantuan kewangan.
Beliau berkata usaha itu bertujuan memastikan akses kepada pembiayaan dapat dipertingkatkan, khususnya bagi golongan yang berdepan kekangan untuk mendapatkan modal bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Amir Hamzah turut menyokong pelaksanaan program Mikro Kredit Turun Padang yang disifatkan sebagai platform penting untuk mendekati peniaga secara langsung, selain memberi penerangan mengenai proses permohonan yang dipermudah, syarat pembiayaan yang tidak membebankan serta penawaran pembiayaan yang adil dan munasabah.
Menurut beliau, sesi bersemuka bersama pemegang taruh dan kumpulan sasar bukan sahaja membantu kerajaan memahami keperluan sebenar rakyat, malah memastikan dasar dan inisiatif yang dilaksanakan sentiasa relevan, berkesan dan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Beliau turut menegaskan bahawa program sedemikian mampu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan Kementerian Kewangan dalam mengurus serta merancang dasar ekonomi negara.
Dalam amanatnya kepada warga MoF, Amir Hamzah turut mengingatkan agar setiap penjawat kementerian melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh integriti dan profesionalisme bagi memastikan MoF terus berwibawa dalam menerajui pengurusan kewangan negara serta memacu kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Zamzuri Abdul Aziz, serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman. – The Capital Post.
-Advertisement-