KDN Perhebat Operasi Banteras Aktiviti Perniagaan Haram Warga Asing

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 8 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti perniagaan haram yang melibatkan warga asing bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan pematuhan undang-undang negara.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu ditegaskan ketika beliau menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN yang dianjurkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pagi tadi.

Saifuddin berkata setiap kali berpeluang bertemu warga kementerian, beliau akan mengambil kesempatan untuk berkongsi perkembangan semasa serta menyelaraskan keutamaan dan hala tuju kementerian.

Dalam amanatnya, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perniagaan haram yang melibatkan warga asing.

Selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata KDN bersama agensi berkaitan akan memperhebatkan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan tersebut, termasuk penyalahgunaan pas dan visa serta penggunaan lesen perniagaan tempatan oleh pihak yang tidak dibenarkan.

-Advertisement-

“Ini bukan sekadar soal pematuhan undang-undang, tetapi juga melibatkan usaha melindungi kepentingan rakyat, memastikan persaingan perniagaan yang adil serta mengekalkan ketenteraman negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Saifuddin berkata KDN akan terus melaksanakan tanggungjawab tersebut secara tegas, adil dan berhemah bagi memastikan Malaysia kekal aman, selamat dan makmur.

Perhimpunan bulanan itu turut menjadi platform bagi memperkukuh komunikasi antara kepimpinan kementerian dan warga KDN dalam usaha mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta penguatkuasaan keselamatan dalam negara. – The Capital Post.