GOPENG, 8 Jun – Tiada lagi kawasan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Perak yang mengalami gangguan liputan telekomunikasi sepenuhnya atau ‘blind spot’, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi.
Beliau berkata keadaan itu dicapai selepas sebuah menara telekomunikasi baharu di kawasan Gua Tempurung mula beroperasi kira-kira sebulan lalu.
Mohd Azlan berkata kawasan Gua Tempurung sebelum ini dikenal pasti sebagai antara lokasi utama yang mengalami masalah liputan telekomunikasi, khususnya bagi pengguna yang melalui laluan berbukit dari arah utara dan selatan.
“Isu gangguan liputan kini berjaya diselesaikan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PLUS Malaysia Berhad, penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta agensi berkaitan.
“Kami telah meletakkan Gua Tempurung sebagai salah satu lokasi tumpuan bagi isu ‘blind spot’ di bawah Jawatankuasa Pemantauan Isu Liputan Telekomunikasi Negeri Perak yang ditubuhkan pada tahun 2023,” katanya kepada pemberita selepas meninjau menara telekomunikasi baharu di Gua Tempurung hari ini.
-Advertisement-
Mohd Azlan berkata selain Gua Tempurung, kerajaan negeri sebelum ini turut berjaya menangani isu liputan telekomunikasi di kawasan Terowong Menora.
“Saya percaya tiada lagi kawasan yang langsung tidak mempunyai sambungan telekomunikasi. Kawasan yang masih terjejas ketika ini hanyalah kawasan yang mempunyai liputan lemah disebabkan faktor bentuk muka bumi atau halangan tertentu, namun masih mempunyai sambungan telekomunikasi,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersama MCMC dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan terus memantau kualiti liputan bagi memastikan ia memenuhi piawaian yang ditetapkan serta keperluan pengguna lebuh raya.
Beliau berkata usaha memperkukuh liputan telekomunikasi akan diteruskan dari semasa ke semasa termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang sering mengalami kesesakan ketika musim perayaan, selain di sepanjang Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). – BERNAMA