KUALA LUMPUR, 10 Jun 2026 (The Capital Post) – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali, melahirkan rasa dukacita terhadap krisis yang berlaku antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sambil menyeru kedua-dua parti agar kembali memperkukuhkan ukhuwah demi kepentingan umat Melayu, Islam dan negara.
Mengulas keputusan PAS yang memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, Ibrahim berkata beliau pada awalnya agak keberatan untuk memberikan reaksi kerana PUTRA meletakkan harapan tinggi terhadap Perikatan Nasional (PN) sebagai wadah yang mampu menawarkan pentadbiran alternatif kepada kerajaan sedia ada.
Menurut beliau, perkembangan tersebut amat mengecewakan kerana berlaku ketika umat Melayu dan Islam berdepan pelbagai cabaran besar serta mengharapkan sebuah gabungan yang mampu memperjuangkan masa depan rakyat dan negara dengan lebih baik.
Ibrahim menegaskan bahawa beliau dan PUTRA tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan pelbagai tafsiran atau memburukkan lagi keadaan. Katanya, parti itu menghormati kedua-dua parti berkenaan dan tidak berpihak kepada mana-mana individu dalam kepimpinan mereka.
“Tiada makna menjadi hero di atas runtuhan persaudaraan Melayu dan ummah,” katanya sambil menegaskan bahawa PUTRA tidak mahu menjadi penyumbang kepada perpecahan yang akhirnya melemahkan umat sendiri.
Beliau turut mengingatkan bahawa umat Islam perlu berpegang teguh kepada ajaran al-Quran yang menyeru agar tidak berpecah-belah, terutama ketika suhu politik semakin memuncak dan emosi pelbagai pihak sedang mempengaruhi keadaan.
Dalam masa sama, Ibrahim mengkritik budaya politik yang menurutnya sering dipenuhi pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada krisis demi kepentingan peribadi, termasuk untuk mendapatkan habuan atau kedudukan tertentu.
-Advertisement-
Walaupun mengakui PUTRA merupakan parti yang kecil, beliau berkata parti itu mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-dua pihak dan sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kepentingan ummah, Melayu, Islam dan negara perlu diletakkan lebih tinggi daripada kepentingan individu.
Beliau turut menegaskan bahawa politik yang telus bukan sekadar mahu dilihat baik oleh manusia, sebaliknya perlu berlandaskan tanggungjawab kepada Allah SWT serta nilai integriti dan keikhlasan dalam perjuangan.
Sehubungan itu, Ibrahim berharap hubungan yang retak antara PAS dan Bersatu tidak dibiarkan berakhir dengan perpisahan yang berkekalan. Beliau percaya kedua-dua parti masih mempunyai ruang untuk mencari titik persamaan dan memulihkan hubungan sekiranya semua pihak bersedia merendahkan ego serta mengutamakan masa depan umat.
Katanya, kemenangan politik yang dibina atas dasar perpecahan tidak akan membawa keberkatan, sebaliknya kekuatan ummah hanya dapat dicapai melalui silaturahim, perpaduan serta kepimpinan yang bersih, berakhlak dan berintegriti.
Beliau menyeru semua pihak agar kembali memperkukuhkan hubungan persaudaraan, memperjuangkan syariat Islam serta membina kepimpinan yang mampu membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. – The Capital Post.