DSAI Bertemu PM Jepun Perkukuh Hubungan Dua Hala

Estimate Reading Time: < 1 minute

JEPUN 11 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi serta anggota pentadbiran Jepun di Kantei, sempena kemuncak lawatan rasmi beliau ke negara itu yang berakhir hari ini.

Ketibaan Anwar di Kantei disambut oleh rakan sejawatannya sebelum diberikan sambutan rasmi termasuk kawalan kehormatan serta alunan lagu kebangsaan kedua-dua negara sebagai simbol hubungan erat yang telah lama terjalin.

Pertemuan tersebut menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun yang telah terjalin sejak tahun 1957. Sepanjang tempoh tersebut, kedua-dua negara terus mengukuhkan kerjasama sebagai sahabat rapat dan rakan strategik yang saling mempercayai dalam pelbagai bidang.

Dalam suasana global yang semakin mencabar dan tidak menentu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama bagi menghadapi cabaran semasa termasuk isu keterjaminan tenaga, pembangunan teknologi, daya tahan ekonomi serta kestabilan serantau.

-Advertisement-

Lawatan rasmi itu turut membuka ruang kepada penerokaan peluang kerjasama baharu yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi, pelaburan strategik dan pembangunan ekonomi masa hadapan.

Hubungan erat Malaysia–Jepun yang terus diperkasakan dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih menyeluruh, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran bersama serta kestabilan rantau Asia-Pasifik. – The Capital Post