TOKYO, 11 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Jepun menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor strategik susulan mesyuarat dua hala antara delegasi kedua-dua negara sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Jepun.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae, atas sambutan mesra dan layanan istimewa yang diberikan sepanjang lawatan tersebut. Beliau menyifatkan Jepun sebagai sahabat lama Malaysia yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan dan pertumbuhan negara sejak tahun 1970-an.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan usaha untuk memperkukuh lagi Hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun serta meneruskan momentum kerjasama yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.
Perbincangan turut merangkumi pelbagai bidang berkepentingan bersama termasuk keselamatan dan kerjasama maritim, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pembuatan termaju, mineral kritikal, transformasi hijau, ekonomi digital serta keterjaminan tenaga.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Myanmar dan Asia Barat, selain membincangkan hala tuju hubungan Malaysia-Jepun pada masa hadapan dalam landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.
Perdana Menteri berkata persahabatan serta kepercayaan yang telah terjalin sekian lama antara Malaysia dan Jepun akan terus membuka ruang kerjasama baharu yang mampu membawa manfaat serta kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara.
Hubungan Malaysia dan Jepun yang dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2023 terus menjadi asas penting dalam memperkukuh kerjasama ekonomi, teknologi dan keselamatan, selaras dengan kepentingan bersama dalam menghadapi cabaran serta merebut peluang baharu di rantau ini. – The Capital Post
-Advertisement-