KUALA LUMPUR 12 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan terus memperkukuh jaringan diplomasi pertahanan antarabangsa apabila dua pegawai Angkatan Tentera Malaysia bakal memulakan penugasan sebagai Penasihat Pertahanan Malaysia di Tokyo, Jepun dan Wellington, New Zealand.
Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin telah menerima kunjungan hormat daripada Kept Mohamad Fazri bin Ibrahim TLDM dan Lt Kol Mohd Zaidy bin Ahmad Zainudin bagi memberi penghargaan atas pelantikan serta amanah yang diberikan kepada mereka.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menegaskan bahawa peranan Penasihat Pertahanan amat penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan negara sahabat melalui kerjasama strategik, latihan ketenteraan bersama, pertukaran kepakaran serta pengukuhan diplomasi pertahanan.
Beliau turut berkongsi pandangan mengenai perkembangan semasa landskap keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks, serta menekankan kepentingan peranan pegawai yang dilantik untuk bertugas dengan penuh profesionalisme, dedikasi dan integriti.
-Advertisement-
Penugasan ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh kehadiran diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa, selaras dengan kepentingan strategik negara serta hubungan erat dengan rakan-rakan luar.
Kementerian Pertahanan berharap pelantikan tersebut akan terus mempertingkat kerjasama ketenteraan dan memperkukuh imej Angkatan Tentera Malaysia di peringkat global. – The Capital Post