KKM, KPT dan IIUM Perkukuh Kerjasama Pengurusan Hospital Pengajar Universiti

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 11 November 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) memperkukuh kerjasama strategik dalam penyelarasan dasar, tadbir urus dan pengoperasian Hospital Pengajar Universiti (HPU) bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan negara.

Perkara itu dibincangkan dalam sesi kunjungan hormat delegasi KPT dan IIUM kepada Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, di Ibu Pejabat KKM, Putrajaya, pada Rabu.

Delegasi berkenaan diketuai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, dengan perbincangan memberi tumpuan khusus kepada pengoperasian Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC) @ IIUM.

Menurut KKM, pertemuan itu menjadi platform untuk meneliti usaha memperkukuh penyelarasan dasar serta kerangka pengoperasian hospital pengajar universiti supaya institusi berkenaan dapat menjalankan peranannya secara lebih teratur, cekap dan berkesan.

Hasnol Zam Zam menegaskan bahawa kerjasama berterusan antara kementerian amat penting bagi memastikan setiap inisiatif mengambil kira aspek tadbir urus, keperluan operasi serta kepentingan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan perkongsian kepakaran dan pengalaman antara agensi dalam memperkukuh ekosistem kesihatan serta pendidikan tinggi negara.

Kerjasama antara ketiga-tiga institusi itu juga dilihat berpotensi memperluas pembangunan dalam bidang pendidikan perubatan, latihan klinikal, penyelidikan dan pembangunan tenaga profesional kesihatan.

-Advertisement-

Usaha berkenaan bertujuan memastikan hospital pengajar universiti terus memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga pakar yang kompeten, selain menyokong penyediaan perkhidmatan rawatan kepakaran kepada masyarakat.

KKM memaklumkan bahawa penyelarasan lebih erat antara sektor kesihatan dan pendidikan tinggi turut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, peningkatan kualiti penjagaan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab; Rektor IIUM, Profesor Emeritus Dato’ Sri Dr. Osman Bakar; dan Pengarah SASMEC @ IIUM, Dr. Siti Zainab Tauhed.

Hadir sama Pengarah Bahagian Governan IPTA, JPT, Datuk Dr. Hanisah Hussin; Pengarah Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr. Hirman Ismail; serta pegawai kanan daripada KKM, KPT dan IIUM.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, kementerian itu komited meneruskan perbincangan dan penyelarasan bersama KPT serta IIUM bagi memperkukuh pembangunan sistem kesihatan negara yang berkualiti, mampan dan responsif terhadap keperluan semasa.– The Capital Post