PAHANG 12 Jun 2026 (The Capital Post) – YDH CP Dato’ Sri Yahaya bin Othman, Ketua Polis Pahang telah mengadakan Lawatan Kerja, Perjumpaan serta Amanat bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong yang berlangsung di IPD Bentong dan Dewan Perdana, Kg. Baru, Bentong pada 11 Jun lalu.
Ketibaan beliau disambut dengan penuh istiadat menerusi Tabik Hormat serta Pemeriksaan Kawalan Kehormatan sebelum menandatangani Buku Pelawat dan seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Bilik Mesyuarat Utama IPD Bentong di tingkat dua bangunan IPD berkenaan.
Turut berlangsung ialah Majlis Perasmian Dapur PERKEP IPD Bentong yang telah disempurnakan oleh YBhg. Datin Sri Sumarnie binti Haris, Pengerusi PERKEP Kontinjen Pahang, diikuti sesi bergambar kenangan bersama warga IPD Bentong.
Program diteruskan di Dewan Perdana, Kg. Baru Bentong dengan Majlis Perjumpaan dan Amanat Ketua Polis Pahang yang dimulakan dengan ucapan alu-aluan, bacaan doa serta nyanyian lagu kebangsaan sebelum amanat disampaikan oleh beliau kepada seluruh warga IPD Bentong.
-Advertisement-
Dalam amanat tersebut, YDH CP Dato’ Sri Yahaya bin Othman menekankan kepentingan integriti, disiplin, profesionalisme serta komitmen berterusan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.
Pada majlis itu, YDH Supt. Zaiham bin Mohd Kahar, Ketua Polis Daerah Bentong turut menyampaikan cenderahati kepada YDH Ketua Polis Pahang, manakala YBhg. Puan Salmah binti Hj. Yaakob, Pengerusi PERKEP IPD Bentong menyampaikan cenderahati kepada YBhg. Datin Sri Sumarnie binti Haris sebagai tanda penghargaan atas lawatan tersebut.
Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu “Sang Saka Biru” dan “Sedia Berkhidmat” serta sesi bergambar kenangan bersama seluruh warga IPD Bentong. – The Capital Post