KUALA LUMPUR 15 Jun 2026 (The Capital Post) – Program realiti inovasi kebangsaan, Junior Innovathon 2026 bakal kembali untuk musim kedua dengan matlamat memperkukuh minat dan penglibatan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta mencungkil bakat inovasi generasi muda negara.
Pra pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan oleh RTM hari ini.
Junior Innovathon merupakan inisiatif kolaboratif melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta RTM sebagai rakan penyiaran rasmi.
Penganjuran musim pertama mencatatkan sambutan memberangsangkan dengan lebih 1.6 juta tontonan televisyen, 6.3 juta tontonan digital serta penyertaan sebanyak 2,107 projek inovasi daripada pelajar di seluruh negara.
-Advertisement-
Bagi musim kedua, fokus utama diberikan kepada usaha membudayakan STEM sejak peringkat sekolah bagi menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan bakat masa hadapan yang mampu memenuhi keperluan ekonomi berteraskan teknologi dan inovasi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Pendaftaran pertandingan dibuka dari 14 Jun hingga 14 Julai 2026 menerusi portal rasmi Junior Innovathon. Pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia berusia antara tujuh hingga 17 tahun yang akan bertanding secara berkumpulan dengan bimbingan guru masing-masing.
Mengangkat tema “Di Sini Inovasi Bermula”, program tersebut dijangka menjadi platform penting dalam melahirkan lebih ramai pencipta, inovator dan usahawan teknologi muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara berpendapatan tinggi berasaskan ekonomi digital dan teknologi masa depan. – The Capital Post