Muzium Diraja Seri Menanti Siap Dipulihara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA PILAH, 16 Jun 2026 (The Capital Post) – Projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah (Fasa 2) di bawah peruntukan Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kini siap sepenuhnya, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memelihara warisan sejarah negara.

Menurut maklumat yang dikongsikan menerusi Facebook Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), projek pemuliharaan istana ikonik itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian dalam memastikan produk pelancongan budaya dan warisan negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Majlis penyerahan projek itu diserikan dengan amanat dan ucapan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, serta ucapan daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Dato’ Ir. Wan Hasnan Wan Musa.

Antara pengisian utama majlis ialah sesi menandatangani Sijil Penyerahan dan Penerimaan Kerja Siap, penyerahan replika kunci dan plak penghargaan MOTAC, serta lawatan rasmi ke tapak projek yang telah dinaik taraf.

-Advertisement-

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti yang dibina sepenuhnya menggunakan kayu tanpa sebatang paku merupakan antara mercu tanda warisan paling unik di negara ini dan menjadi simbol penting sejarah kesultanan Negeri Sembilan serta kehalusan seni bina tradisional Melayu.

MOTAC turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Muzium Negeri Sembilan, JKR Negeri Sembilan serta semua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan projek berprestij tersebut. – The Capital Post