MTEN Bincang Produktiviti dan Risiko Geopolitik

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 17 Jun 2026 (The Capital Post) – Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir telah mempengerusikan sesi perbincangan kertas-kertas dasar yang bakal dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 14/2026 bersama Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri (PMAC) pada 15 Jun lalu.

Perbincangan yang turut dihadiri pengurusan tertinggi dan pegawai Kementerian Ekonomi itu memberi tumpuan kepada beberapa isu strategik yang berkaitan dengan produktiviti sektor ekonomi domestik serta perkembangan ekonomi global yang berpotensi memberi kesan kepada Malaysia.

Kertas pertama yang dibentangkan oleh Pengerusi Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman memfokuskan kepada cabaran semasa yang dihadapi sektor peruncitan, termasuk usaha meningkatkan produktiviti industri, memperkukuh daya saing perusahaan tempatan serta memastikan kesinambungan bekalan barangan dan perkhidmatan kepada pengguna.

Sesi tersebut turut membincangkan langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi mempertingkat kecekapan operasi industri serta memperkukuh sumbangan sektor peruncitan dan makanan serta minuman kepada pertumbuhan ekonomi negara.

-Advertisement-

Sementara itu, pembentangan kedua oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menyentuh hasil penilaian berkaitan impak konflik geopolitik di Asia Barat terhadap ekonomi global dan domestik, termasuk kesannya terhadap rantaian bekalan antarabangsa, perdagangan dunia, harga komoditi serta kadar inflasi.

Penilaian tersebut turut memberi gambaran mengenai prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang berterusan serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.

Perbincangan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap dasar dan keputusan ekonomi dirangka berdasarkan analisis yang menyeluruh, sekali gus menyokong agenda pertumbuhan mampan di bawah kerangka Ekonomi MADANI. – The Capital Post