PLKN 3.0 Bentuk Mahasiswa Holistik dan Patriotik

Estimate Reading Time: < 1 minute

TANJONG MALIM 17 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh usaha melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah menerusi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di institusi pengajian tinggi.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi peluncuran Program Rintis PLKN 3.0 Peringkat Universiti Awam yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Menurut beliau, pendidikan tinggi masa kini perlu memberi penekanan bukan sahaja kepada kecemerlangan akademik, malah pembentukan karakter, disiplin dan ketahanan diri bagi melahirkan graduan yang holistik serta mampu menghadapi cabaran masa hadapan.

Pelaksanaan PLKN 3.0 di institusi pengajian tinggi merupakan pendekatan strategik kerajaan yang menggabungkan elemen kepimpinan, kenegaraan dan latihan berteraskan disiplin dalam usaha membentuk mahasiswa yang berintegriti dan berdaya tahan.

Program rintis tersebut melibatkan seramai 1,005 mahasiswa baharu peringkat diploma UPSI yang akan menjadi kumpulan pertama sebelum pelaksanaannya diperluaskan ke universiti awam lain di seluruh negara.

Berbanding pendekatan terdahulu, PLKN 3.0 diperkenalkan dengan kaedah yang lebih interaktif dan kurang berorientasikan latihan ketenteraan secara formal, sebaliknya memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman, aktiviti kembara, kerja berpasukan serta penyelesaian masalah.

-Advertisement-

Melalui modul yang disediakan, peserta akan didedahkan kepada pembangunan kepimpinan, ketahanan mental, kemahiran membuat keputusan serta kebolehsuaian dalam menghadapi pelbagai situasi yang mencabar.

Program ini turut berperanan memupuk semangat patriotisme, memperkukuh penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara serta menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa terhadap keamanan, perpaduan dan kedaulatan negara.

Dalam masa sama, penglibatan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang dijangka dapat mengeratkan hubungan antara kaum serta memperkukuh semangat perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan generasi muda.

Kejayaan pelaksanaan program ini mencerminkan kerjasama erat antara KPT dan Kementerian Pertahanan Malaysia dalam membentuk mahasiswa yang holistik, berintegriti dan berjiwa patriotik sebagai aset penting pembangunan negara pada masa hadapan. – The Capital Post