PMX : Pembangunan Mesti Dinikmati Semua Rakyat

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEPALA BATAS 21 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan negara tidak seharusnya diukur semata-mata melalui peningkatan pelaburan atau pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata projek pembangunan seperti Setia Fontaines Industrial Park di Kepala Batas merupakan antara inisiatif penting yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan akses kepada latihan kemahiran serta pembangunan kawasan yang sebelum ini kurang menerima limpahan pembangunan berbanding lokasi lain.

Menurut beliau, projek berkenaan berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi yang lebih seimbang, selain membantu memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi utama negara.

Beliau berkata Malaysia kini sedang memasuki fasa baharu pembangunan ekonomi yang dipacu oleh teknologi tinggi, industri semikonduktor, inovasi serta kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh daya saing negara dalam ekonomi global.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi perlu disertai dengan pembangunan modal insan yang holistik agar rakyat bukan sahaja memiliki kemahiran dan kepakaran yang diperlukan industri masa depan, malah turut dibentuk dengan nilai murni, rasa ihsan dan tanggungjawab sosial.

-Advertisement-

Menurut Perdana Menteri, pembangunan insan yang seimbang amat penting bagi melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara sambil memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan memberikan manfaat secara adil dan saksama kepada rakyat, selain menjaga kepentingan komuniti setempat serta memperkukuh keupayaan ekonomi negara.

Katanya, kemajuan yang sebenar bukan hanya dinilai melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi apabila rakyat dapat menikmati peluang pekerjaan yang lebih baik, kemudahan hidup yang berkualiti serta masa depan yang lebih terjamin untuk generasi akan datang. – The Capital Post