IPOH 9 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Seorang lelaki berusia 20 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi di Air Terjun Taman Suria, berhampiran Taiping, petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa ketika kejadian sedang mandi bersama empat rakannya di kawasan air terjun berkenaan.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping serta Kamunting dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.10 petang.
Pasukan penyelamat perlu menempuh perjalanan kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke pusat pemeriksaan sebelum meneruskan perjalanan sejauh satu kilometer lagi melalui laluan lereng bukit menuju ke kawasan air terjun.
Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati mangsa telah dibawa keluar oleh rakan-rakannya dan diletakkan di kawasan batuan sungai yang rata.
-Advertisement-
Anggota bomba kemudiannya menjalankan bantuan awal menerusi prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR). Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sabarodzi berkata pihak bomba kemudian membawa mayat mangsa turun menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi menyelamat berkenaan ditamatkan pada pukul 4.20 petang. – The Capital Post