BINTULU 22 Jun 2026 (The Capital Post) – Langkah penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, selain membuka ruang kepada pengurusan pelabuhan yang lebih cekap dan berdaya saing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing, telah menghadiri Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu yang berlangsung di Menara Kidurong dan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Majlis tersebut turut menyaksikan YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, menyerahkan cek berkaitan proses penukaran status pelabuhan kepada Perdana Menteri selepas pemeteraian perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
Penyerahan itu mencerminkan kesepakatan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan agenda pembangunan strategik yang mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada sektor ekonomi dan perdagangan negara.
-Advertisement-
Dengan status baharu sebagai pelabuhan negeri, Pelabuhan Bintulu dijangka dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh rangkaian logistik serta menarik lebih banyak peluang pelaburan ke Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.
Inisiatif berkenaan juga diyakini dapat mengukuhkan kedudukan Bintulu sebagai antara hab perdagangan dan logistik utama di rantau ini, selari dengan usaha mempercepat pembangunan mampan serta memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif berteraskan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), YB Datuk Ts. Mustafa Sakmud; serta Menteri Pengangkutan, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook. – The Capital Post