TUDM Terima Sistem Persenjataan Baharu H225M

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN, 22 Jun 2026 (The Capital Post) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus mempertingkatkan kesiapsiagaan operasinya menerusi penerimaan rasmi Sistem Persenjataan FN MAG 58M 7.62mm yang akan digunakan pada helikopter EC 725 AP/H225M bagi memperkukuh keupayaan misi Combat Search and Rescue (CSAR).

Perolehan lima unit mesingan tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) yang bertujuan memperkasakan aset pertahanan udara negara selaras dengan keperluan operasi semasa dan masa hadapan.

Dengan pemasangan sistem persenjataan baharu itu, helikopter H225M dijangka mampu melaksanakan operasi menyelamat dalam persekitaran berisiko tinggi dengan lebih berkesan, selain meningkatkan tahap perlindungan terhadap anggota dan aset ketika menjalankan tugasan kritikal.

Keupayaan tambahan ini turut dijangka memberi nilai tambah kepada pelbagai operasi lain termasuk bantuan kemanusiaan, pengangkutan taktikal serta pelaksanaan operasi khas yang memerlukan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan yang tinggi.

-Advertisement-

Sebelum diserahkan secara rasmi, sistem persenjataan berkenaan telah menjalani proses Final Acceptance Test (FAT) di Pangkalan Udara Kuantan dan Pangkalan Udara Labuan dengan penglibatan No. 10 Skuadron dan No. 5 Skuadron bagi memastikan semua keperluan teknikal, standard keselamatan dan spesifikasi operasi dipenuhi.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Airbus Helicopters, Axel de Pascal, kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris TUDM sebagai simbolik kepada pengukuhan berterusan keupayaan pertahanan udara negara. – The Capital Post