MELAKA, 22 Jun 2026 (The Capital Post) – Seramai 117 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyertai Program Halal Sukses KUSKOP yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Bahagian Pembangunan Halal dan Vendor (BPHV) bagi meningkatkan pemahaman berkaitan kepentingan Pensijilan Halal Malaysia dalam memperkukuh daya saing perniagaan.
Program yang berlangsung di Dewan Sutera, Morten Walk itu menjadi platform penting untuk memperluaskan kesedaran dalam kalangan usahawan mengenai keperluan pematuhan halal serta peluang yang boleh dimanfaatkan melalui pelbagai inisiatif sokongan dan bantuan yang disediakan oleh kementerian.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek berkaitan proses mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia, termasuk syarat pematuhan, prosedur permohonan serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan produk dan perkhidmatan memenuhi standard yang ditetapkan.
Selain itu, usahawan turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan agensi berkaitan dan rakan strategik yang memainkan peranan dalam pembangunan industri halal negara, sekali gus membolehkan mereka mendapatkan panduan serta maklumat yang lebih jelas untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
-Advertisement-
KUSKOP turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan, khususnya Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan MAXIS yang telah memberikan kerjasama strategik dalam memastikan objektif program dapat dicapai dengan berkesan.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan PMKS yang berdaya tahan, berpengetahuan dan berkeupayaan memperoleh Pensijilan Halal Malaysia, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa. – The Capital Post