Kementerian Ekonomi Selaras Naratif Menjelang Sidang Parlimen

Estimate Reading Time: < 1 minute

Putrajaya, 22 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Urusan Parlimen sebagai persediaan menghadapi Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Parlimen yang bermula hari ini, dengan tumpuan diberikan kepada penyelarasan naratif dan pendirian kerajaan berkaitan isu strategik ekonomi negara.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Ekonomi, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Kementerian itu memaklumkan bahawa mandat telah diberikan kepada Kementerian Ekonomi selaku urus setia Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk menjawab pertanyaan Ahli Parlimen berkaitan kesiapsiagaan negara dalam mendepani krisis bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik, termasuk implikasinya terhadap ketahanan ekonomi negara.

-Advertisement-

Selain itu, kementerian berkenaan turut menerima pelbagai pertanyaan berhubung langkah menangani peningkatan kos sara hidup, usaha memperkukuh keselamatan tenaga dan makanan, pelaksanaan subsidi bersasar menerusi Pangkalan Data Utama, keberkesanan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), serta persediaan Malaysia menuju status negara menua menjelang 2030.

Menurut hantaran itu, Kementerian Ekonomi kekal komited memastikan setiap dasar, intervensi dan langkah yang dilaksanakan kerajaan berasaskan data, responsif terhadap cabaran semasa serta mampu melindungi kesejahteraan rakyat dan menjamin kemampanan pertumbuhan ekonomi negara.- The Capital Post