Melaka, 22 Jun 2026 (The Capital Post) – Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Melaka melabuhkan tirainya dengan kejayaan apabila merekodkan kehadiran lebih 60,000 pengunjung sepanjang penganjurannya dari 19 hingga 21 Jun.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, karnival itu dianjurkan bagi memperkasa usahawan tempatan menerusi pelbagai program termasuk sesi padanan perniagaan bersama syarikat peneraju, perkongsian ilmu keusahawanan, pameran dan jualan produk usahawan serta khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan.
Majlis perasmian penutupan HPM Edisi Melaka disempurnakan oleh Datuk Rais Yasin, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Acara itu turut menyaksikan pelancaran Portal TEKUN Nasional, sebuah platform digital sehenti yang membolehkan usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, membuat permohonan secara dalam talian, menyemak status permohonan, mengakses program serta latihan keusahawanan, selain mendapatkan maklumat pejabat TEKUN di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kementerian dalam merealisasikan strategi ABCD KUSKOP, khususnya teras Birokrasi Dipermudahkan, bagi memastikan usahawan memperoleh akses kepada pembiayaan dan perkhidmatan kerajaan dengan lebih pantas, mudah dan mesra pengguna.
-Advertisement-
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian cek cura kepada 16 usahawan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan melebihi RM4 juta merangkumi pelbagai sektor perniagaan.
Sehingga 31 Mei 2026, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM92 juta kepada lebih 4,300 usahawan di Melaka. Di peringkat nasional pula, sebanyak RM5 bilion pembiayaan telah diluluskan, memberi manfaat kepada lebih 180,000 perusahaan di seluruh negara.
Menurut hantaran itu, KUSKOP kekal komited memperkukuh ekosistem keusahawanan negara menerusi inisiatif PowerUp10K yang lebih inklusif, responsif dan berdaya saing bagi memacu pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin; EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Allex Seah Shoo Chin; Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; serta barisan pengurusan kanan kementerian dan agensi berkaitan.- The Capital Post