Menteri Kewangan II Tinjau Pelaksanaan SARA Melalui MyKad

Estimate Reading Time: < 1 minute

TUARAN 24 Jun 2026 (The Capital Post) – YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, hari ini turun padang bagi meninjau pelaksanaan penggunaan MyKad untuk Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah kedai rakan niaga berdaftar di Tuaran, Sabah.

Lawatan tersebut bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan inisiatif berkenaan dalam memudahkan penerima bantuan mendapatkan barangan keperluan asas, selain memastikan sistem yang diperkenalkan dapat berfungsi dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat yang layak.

Setakat ini, sebanyak 13,500 kedai rakan niaga SARA telah berdaftar di seluruh negara, termasuk lebih 6,000 kedai runcit kecil yang turut mengambil bahagian dalam pelaksanaan program tersebut. Di Sabah, sebanyak 1,493 kedai runcit telah didaftarkan sebagai rakan niaga SARA bagi memperluaskan capaian bantuan kepada masyarakat setempat.

Pelaksanaan penggunaan MyKad dalam program itu dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh penyampaian bantuan secara lebih cekap, mudah dan selamat, selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memperluas akses kepada bantuan bersasar bagi golongan yang memerlukan.

-Advertisement-

Inisiatif tersebut turut membantu memastikan penerima yang layak dapat menikmati manfaat bantuan dengan lebih menyeluruh tanpa perlu melalui proses yang rumit, sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian bantuan kerajaan.

Kerajaan menegaskan komitmennya untuk terus memastikan setiap bantuan yang diperuntukkan sampai kepada golongan sasar serta membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif yang berimpak tinggi dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat. – The Capital Post