KESUMA Salur RM2.88 Juta Geran PHEKS Perkasa Kesatuan Sekerja

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 24 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meneruskan usaha memperkukuh gerakan kesatuan sekerja negara menerusi penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 bagi Semenanjung Malaysia dalam satu majlis yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Datuk Khairul Firdaus Bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia, serta YBrs. Encik Sutekno Bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA.

Bagi tahun 2026, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM6.1 juta untuk pelaksanaan PHEKS di seluruh negara. Daripada jumlah itu, RM2.88 juta diperuntukkan bagi membiayai 325 permohonan geran yang telah diluluskan melibatkan kesatuan sekerja di Semenanjung Malaysia.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan menegaskan bahawa kesatuan sekerja memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam mewujudkan hubungan perusahaan yang harmoni, melindungi kebajikan pekerja serta menyokong pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.

-Advertisement-

Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember 2025, terdapat 786 kesatuan sekerja berdaftar di Malaysia dengan jumlah keanggotaan melebihi 1.06 juta ahli, sekali gus mencerminkan peranan signifikan gerakan kesatuan sekerja dalam landskap tenaga kerja negara.

Menurut beliau, KESUMA akan terus memperluaskan usaha pemerkasaan kesatuan sekerja melalui pelbagai inisiatif termasuk latihan kepimpinan, pendigitalan operasi, penyelidikan serta pengukuhan aspek tadbir urus bagi memastikan organisasi kesatuan kekal relevan dan berdaya saing.

Majlis penyerahan geran tersebut mencerminkan komitmen berterusan KESUMA dalam memperjuangkan hak pekerja, memperkukuh hubungan perusahaan serta membangunkan pasaran buruh yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan demi kesejahteraan tenaga kerja negara. – The Capital Post