BRISBANE 29 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam sektor mineral menerusi perancangan penganjuran ASEAN Minerals Investment Forum (AMIF) 2026, sebagai platform strategik bagi memperkasa pembangunan ekosistem mineral yang mampan dan berdaya saing di rantau ASEAN.
Hasrat itu disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup ketika berucap pada Mesyuarat Meja Bulat Menteri Peringkat Tinggi yang berlangsung sempena Kongres Perlombongan Sedunia (World Mining Congress, WMC) 2026 di Brisbane.
Menurut beliau, penganjuran AMIF 2026 dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara negara-negara ASEAN dalam menarik pelaburan, memperkukuh rantaian nilai industri mineral serta menggalakkan amalan perlombongan yang lebih lestari.
-Advertisement-
Dalam sesi perbincangan tersebut, para menteri dan wakil negara turut mencapai persetujuan bahawa permintaan global terhadap mineral kritikal akan terus meningkat, didorong oleh perkembangan pesat teknologi hijau, tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan (AI).
Perkembangan itu membuka peluang kepada negara-negara pengeluar mineral untuk memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan global, di samping memastikan pembangunan industri dilaksanakan secara mampan, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada ekonomi serantau. – The Capital Post