MBJ Kementerian Komunikasi Perkukuh Kerjasama

Estimate Reading Time: < 1 minute

BENTONG 29 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Komunikasi terus memperkukuh budaya kerja berpasukan dan tadbir urus organisasi menerusi Majlis Penutupan Program Pengukuhan Pasukan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) bagi sesi 2026–2027 yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah di Bentong, Pahang.

Program berkenaan menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan ahli MBJ melalui pelbagai sesi interaksi dan perkongsian yang memupuk semangat kerja berpasukan, di samping memperkasakan budaya kerja cemerlang dalam usaha meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kementerian.

Dalam ucapannya, Datuk Abdul Halim menegaskan bahawa setiap wakil MBJ memikul amanah yang besar dalam mewakili kepentingan warga jabatan dan memainkan peranan penting sebagai penghubung antara pengurusan dengan kakitangan.

-Advertisement-

Beliau turut menekankan bahawa penyampaian maklumat yang tepat, jelas dan berintegriti mampu menyokong proses membuat keputusan yang lebih baik, sekali gus memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar dan inisiatif kementerian.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Datuk Aminurrahim Mohamed serta Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Nor Azidah Mohammad. Program itu diharap dapat memperkukuh peranan MBJ sebagai platform kerjasama strategik dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, progresif dan berprestasi tinggi. – The Capital Post