KSU Tinjau Pusat Media PRU Johor di Muar

Estimate Reading Time: < 1 minute

MUAR 29 Jun 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, hari ini mengadakan lawatan kerja ke Pusat Media Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 yang beroperasi di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sabak Awor, bagi menilai tahap pengoperasian serta kemudahan yang disediakan kepada pengamal media sepanjang tempoh liputan pilihan raya.

Pusat media berkenaan beroperasi bermula 26 Jun hingga 11 Julai 2026 sebagai pusat koordinasi utama bagi pengamal media dalam mendapatkan serta menyalurkan maklumat berkaitan proses pilihan raya di negeri Johor.

Sepanjang lawatan tersebut, Datuk Abdul Halim turut mendengar taklimat operasi harian yang disampaikan oleh Penyelaras Media bertugas bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pengurusan pusat media, selain meneliti beberapa cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan kecekapan pengendalian liputan pada masa akan datang.

-Advertisement-

Beliau turut menegaskan kepentingan penyediaan infrastruktur digital yang mantap, termasuk akses internet berkelajuan sekurang-kurangnya 100 Mbps, bagi memastikan proses penghantaran bahan berita seperti gambar dan video oleh pengamal media dapat dilakukan dengan lebih lancar, pantas dan efisien.

Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Komunikasi dalam memperkukuh sokongan infrastruktur serta kemudahan media demi memastikan liputan pilihan raya dapat dilaksanakan secara profesional, tepat dan berkesan. – The Capital Post