ASEAN Nilai Semula Konsensus Myanmar

Estimate Reading Time: 2 minutes

MANILA 14 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Pemimpin ASEAN dijangka menilai semula pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) berkaitan Myanmar pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, selain menetapkan keputusan yang akan menjadi panduan kepada pendekatan blok serantau itu terhadap negara berkenaan pada masa hadapan.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa P. Lazaro berkata, penilaian itu akan dilaksanakan menerusi dokumen bertajuk ASEAN Leaders’ Review and Decision on the Implementation of the Five-Point Consensus yang meneliti perkembangan semasa di Myanmar serta kemajuan pelaksanaan 5PC sejak kajian semula terdahulu.

Menurut beliau, konsensus berkenaan kekal sebagai rujukan utama ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar, dengan blok itu terus menggesa pelaksanaannya secara menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bertulis bersama Bernama, sambil memaklumkan bahawa perkara itu turut ditegaskan ketika pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Myanmar pada 29 Oktober lalu.

Lazaro berkata kemajuan sebenar pelaksanaan konsensus tersebut bergantung kepada tindakan yang bersedia diambil oleh Myanmar sendiri.

5PC yang dipersetujui pemimpin ASEAN pada 2021 antara lain menggariskan keperluan menghentikan keganasan, mengadakan dialog melibatkan semua pihak serta menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lazaro memaklumkan Myanmar telah menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal ASEAN, yang diharapkan dapat menyumbang kepada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan konsensus berkenaan.

-Advertisement-

Menyentuh usaha bantuan kemanusiaan, beliau yang juga Utusan Khas ASEAN mengenai Myanmar berkata misi yang diketuainya pada Oktober lalu telah memulakan operasi bantuan selama sebulan.

Operasi itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 11,000 isi rumah di Negeri Kayin serta bahagian utara dan selatan Negeri Shan, khususnya komuniti yang masih belum menerima bantuan daripada Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (AHA Centre).

Menurutnya, Pasukan Pemantau ASEAN bersama wakil kedutaan negara anggota ASEAN dan Jepun telah mengagihkan bekalan beras, kit keperluan keluarga serta kit kebersihan diri sepanjang misi berkenaan.

Lazaro berkata beliau akan terus mengusahakan peluasan akses bantuan kemanusiaan, terutama kepada kawasan dan komuniti yang paling memerlukan sepanjang baki tempoh perkhidmatannya sebagai Utusan Khas ASEAN.

Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan sidang berkaitan di Manila dari 15 hingga 17 November ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan. – The Capital Post