Ahli Parlimen Desak Kerajaan Jelaskan Pelaksanaan Semula TURAP

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 29 Jun 2026 (The Capital Post) – Beberapa Ahli Parlimen hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pelaksanaan semula Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP), yang didakwa berpotensi mewujudkan monopoli baharu dalam sistem pengambilan pekerja asing negara.

Menerusi satu kenyataan media bersama, kumpulan wakil rakyat berkenaan mempersoalkan hala tuju dasar tersebut dengan merujuk kepada isu tadbir urus yang masih belum selesai melibatkan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS), selain menuntut penjelasan sama ada keputusan berkaitan TURAP telah dimuktamadkan di peringkat Jemaah Menteri.

Mereka turut mempersoalkan peranan syarikat Bestinet dalam ekosistem pengambilan pekerja asing sekiranya platform baharu itu dilaksanakan, dengan menegaskan bahawa sistem berskala nasional melibatkan data sensitif, kos pengambilan serta mobiliti pekerja tidak wajar diputuskan tanpa proses perbincangan awam yang telus.

Kenyataan itu turut merujuk kepada beberapa laporan termasuk dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kawalan sistem, ketelusan operasi serta pengurusan data dalam FWCMS.

-Advertisement-

Selain itu, mereka turut mempersoalkan struktur perolehan TURAP, termasuk kemungkinan pelaksanaannya melalui rundingan terus atau model kerjasama awam-swasta (PPP), serta menuntut penjelasan terperinci mengenai terma konsesi, kos per pekerja, pembahagian risiko dan tadbir urus data.

Ahli Parlimen terbabit turut menegaskan bahawa walaupun reformasi sistem pengambilan pekerja asing diperlukan bagi menangani isu eksploitasi dan kos pengambilan yang tinggi, pelaksanaannya tidak seharusnya mewujudkan kebergantungan baharu kepada satu entiti swasta tunggal.

Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan menangguhkan sebarang pelaksanaan TURAP sehingga semua aspek dasar, struktur perolehan, serta impaknya kepada sistem sedia ada seperti FWCMS dan NIISe dibentangkan secara terbuka kepada Parlimen dan rakyat.

Kenyataan bersama itu turut ditandatangani oleh YB Lee Chean Chung (MP Petaling Jaya), YB Wong Chen (MP Subang), YB Zahir Hassan (MP Wangsa Maju), YB Muhammad Bakhtiar Wan Chik (MP Balik Pulau), YB Rodziah Ismail (MP Ampang), YB Kesavan A/L Subramaniam (MP Sungai Siput) dan YB Tan Kar Hing (MP Gopeng). – The Capital Post