Penilaian Akhir MCY 2025 Pilih 29 Finalis

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 30 Jun 2026, (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D telah melaksanakan Sesi Penilaian Akhir Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2025 di Dewan Perhimpunan MOSTI sebagai langkah terakhir bagi memilih inovasi terbaik yang layak menerima pengiktirafan berprestij tersebut.

Anugerah MCY diwujudkan bagi mengiktiraf kejayaan penyelidik, institusi serta usahawan teknologi tempatan yang berjaya membawa hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke peringkat pengkomersialan. Inisiatif ini bukan sahaja menghargai pencapaian inovator tempatan, malah menggalakkan pembangunan teknologi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Sepanjang proses penilaian MCY 2025, sebanyak 434 produk telah melalui Sesi Penilaian Due Diligence yang menilai potensi komersial, kebolehpasaran dan impak inovasi. Daripada jumlah tersebut, 139 produk dikenal pasti sebagai inovasi berpotensi tinggi di bawah KPI Khas MCY sebelum disenarai pendek ke peringkat seterusnya.

-Advertisement-

Hasil daripada proses saringan yang menyeluruh, seramai 29 finalis berjaya dipilih untuk membentangkan produk, teknologi dan penyelesaian inovatif masing-masing di hadapan panel penilai pada peringkat akhir. Pemilihan ini mencerminkan komitmen berterusan MOSTI dalam mengenal pasti inovasi tempatan yang mempunyai nilai komersial tinggi dan berpotensi menembusi pasaran domestik serta antarabangsa.

Pemenang Anugerah MCY 2025 dijangka diumumkan sempena Program National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Program bertemakan “Dari Misi ke Pasaran, Malaysia ke Dunia” itu dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri dan dijangka menjadi platform utama bagi mempromosikan ekosistem inovasi serta pengkomersialan negara. – The Capital Post