Anwar Pengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 1 Julai 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 bagi membincangkan hala tuju pendidikan negara yang merangkumi pendidikan sekolah dan pengajian tinggi.

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan mutu pendidikan di peringkat daerah, memperkasa agenda pendidikan Bumiputera serta membina hala tuju pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan masa hadapan negara.

Dalam kenyataannya, Anwar menegaskan bahawa Majlis Pendidikan Negara diwujudkan bukan sekadar untuk membuat penyesuaian terhadap sistem sedia ada, sebaliknya sebagai platform untuk memacu perubahan yang berani dan bermakna agar sistem pendidikan negara kekal relevan dengan tuntutan semasa.

Beliau berkata, antara fokus utama termasuk penambahbaikan kandungan dan kurikulum pendidikan, di samping memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tanpa mengabaikan nilai, budaya, bahasa kebangsaan dan akhlak yang menjadi teras Malaysia MADANI.

-Advertisement-

Menurut beliau, sistem pendidikan negara perlu dinilai secara objektif berpandukan pandangan serta kepakaran pelbagai pihak bagi memastikan setiap dasar dan langkah yang dilaksanakan mampu mempersiapkan generasi masa hadapan dengan lebih berkesan.

Anwar turut menegaskan bahawa budaya berpuas hati dengan sistem sedia ada tidak boleh menjadi penghalang kepada kemajuan. Sebaliknya, beliau menyeru semua pihak agar bersedia menerima perubahan, berani melaksanakan pembaharuan dan terus berusaha mengangkat mutu pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Perkongsian mengenai mesyuarat tersebut dimuat naik menerusi akaun Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – The Capital Post.